He he, seperti biasa projek sajak saya mesti berjalan lancar. Namun, sebab saya ketandusan idea, saya rasa lebih baik saya memfofularkan sajak mama saya, yang eksklusif kat ruangan ni....korang faham ke sajak mak aku nih??
ANGIN MALAM
Wahai angin malam di buaian bunian
Pamerkan wajahmu yang jelita
Ke atas batinku yang sepucat tengkorak
Buat mengubat rindu di dada
Wahai bulan purnama di langit lazuli
Simbahkan cahayamu nan suci
Ke atas tubuhku yang lemah longlai
Buat menawar rindu yang mencengkam hati
Wahai kekasih hati yang sudah lama pergi
rinduku padamu
adalah racun berbisa
yang tidak terperi
menjalar jari-jemarinya mencekik nafasku
Sarung-hakikatkupun terdampar di lantai dunia
Waktu roh-jiwa lepas pergi bak sekepul asap
Kembali terbang melayang
ke sepelusuk takhta-takhta purba
Mencari-cari dirimu yang hilang
Berteman angin malam dan cahaya bulan malap
Yang sejak azali berkasih setia
PAKAIAN USIA
Pakaian baru yang tersalut ditubuhku
Sudah berganti baju labuh yang longgar dan usang
Satu pemandangan hodoh pergi kau dari sini
Cik Puan Muda tawananku dah lari ke ufuk barat
Sut labuhnya yang ketat sendat
Berkilau direfleksi mentari petang
Debu-debu berterbangan dari tumit kakinya
Meninggalkan panorama aurora
Tatkala dia tiba di garis penamat antara bumi dan langit.
Terus ia meniti tangga pelangi
Menghilang di celah awan
Tiba di horizon satu lagi
Sedang kupacu kudaku sekuat tenaga
Tidak mampu ia mengejar walau bayang Cik Puan Muda
Kerana tenagaku sudah kendur
Sedang dia berdarah muda
Lalu tungganganku bertempik
Keletihan yang amat sangat
Tanpa seteguk air buat menghambat lelah
Ia pun tersungkur di tengah gurun
Mencampak tuannya ke atas tilam pasir
Tersedak kerongkongku tertelan debu-debu gersang
Yang merabunkan mata dan menyumbat telinga
Ku lihat ke cermin
Seorang perempuan tua asing sedang memandangku
Aku tidak kenal dia
Aku juga tidak mahu menjadi sahabatnya
Hatiku masih sayang dan rindu
Pada Cik Puan Muda tawananku
Yang sudah melepaskan diri
Dari genggamanku
Wanita tua di dalam cermin itu pun tersenyum sinis
Sebuah ejekan yang memualkan
Aku pandangnya penuh benci
Wajah kedut seribu dan gigi jarang-jarang
Berhias rambut putih
Tanda malaikat maut
dah bertandang bertanya khabar
Daniel Zaydi
No comments:
Post a Comment